Dosa Kering Pagi Ramadhan

Aku tidak peduli
Aku mahu hambur semua rasa
Aku simpan sekian lama

Ini dosa aku
Kering. Lembab. Basah. mungkin.

Aku sudah mula benci
sama semua jasad keliling aku
sama semua tubuh yang singgah lalu depan mataku

Kalaulah boleh aku halau semuanya untuk seketika
atau aku lari ke tempat tersorok dari jelingan mereka.
Beri aku sedikit ruang untuk bernafas, tolong!

Manusia itu macam-macam:

Yang suka ambil kesempatan
akan mendekati bakal mangsanya
akan mencari ruang rongga untuk ditumpang selit.
Mengira kepentingan sendiri semata
tanpa ada rasa ihsan maupun belas
untuk membantu antara sesama.

Yang terlalu taksub dengan hasad
akan mencari walau sekelumit silap sesiapa sahaja
untuk diadu domba
akan menokok ceritera
memuaskan hati sendiri
melihat orang lain menanggung tuduhan dan membetul tanggapan
terkial membersih nama yang tercalar

Yang bodoh sombong
kekal dengan egonya
tidak mahu bertuan
tidak betah diajar
mengaku diri sendiri paling benar
tidak layak ditegur.

Orang-orang yang macam-macam ini
cuma patut ditukul kepala mereka
ditampar mulut mereka
dicili segala deria
Biar mereka ini rasa
pijar, siksa, azabnya disakiti.



AMARAN keras buat sang hati:
Aku perlu dampingi Qur'an lebih lama, mungkin.
Biar sejuk sedikit rasa amarah dari bisikan syaitan ini.

IRAMA HATI SAYA