Malaikat Yang Bercakap Tentang Syaitan

Kebanyakan orang akan berasa diri banyak kurangnya berbanding orang lain. Tapi lebih ramai yang mudah berbangga dan berlagak mewah. Jika bercakap soal jodoh, pasangan dan pilihan, sering kali jawapan ini yang kedengaran.

"Aku ni manalah sepadan dengan dia. Dia tu baik umpama malaikat, solat tak pernah tinggal. Sedangkan aku ni tiang agama pun macam nak roboh, amalan sunat jauh sekali nak buat.
Menyetan sahaja yang aku tahu."

Mengaku sajalah. Ini memang ayat kita. Kita semua lah. Kalau anda pernah berkata seperti di atas, TAHNIAH! Nampaknya anda memang sedar diri (sekurang-kurangnya).

Tetapi, benarkah kita sesyaiton itu? Pernahkah kita terfikir bahawa kita ini mungkin malaikat dimata yang lain? Secara sedar mahupun tidak. Tak semua orang jahat itu baik. Dan tak semua orang baik itu jahat. Eh?

Aku bagi contoh. Aku ada kawan. Dia adalah anak buah Geng 77 katanya. Aku tak pasti sejauh mana kebenarannya, tapi masa hari lahir aku dia pernah memberi hadiah berupa speaker set lengkap dengan subwoofer.  Katanya "Ambil sahaja, jangan ditanya mana aku dapat. Aku jaga gudang." Ya. muka dia berparut. Aku dengar rakan menggelarnya 'taiko'. Laras bahasanya juga agak berbeza dengan pertuturan semasa. Tapi dia tidak pula nampak ganas macam pelakon dalam filem melayu-poyo-bajet-gangster-KL-haktuih.

Pada suatu pagi, sedang aku menapak ke tempat kerja. Melawan arus trafik. Aku nampak seorang pakcik sedang menolak motosikal dari arah bertentangan. Ada anak kecil sedang duduk tergantung kaki di tempat duduk hadapan motosikalnya. Kehabisan minyak barangkali. Aku cuma memandang sekilas tatkala berselisih. Matahari mula naik. Tiba-tiba ada satu suara seperti menjerkah, "Aku masuk lambat tau. Ada hal sikit!" Rupanya Man Taiko yang mengekor di belakang aku. Apabila aku toleh, dia sudah berpatah balik dan berlari anak ke arah pakcik tadi. Aku perhatikan tingkahnya. Dia menyapa pakcik itu seperti bertanya sesuatu. Kemudian kulihat Man Taiko menolak motosikal menggantikan pakcik itu menuju stesen minyak berhampiran. Cerita tamat.
   
Aku suka memandang setan. Sebab aku mahu mencari sisi malaikat dalam diri mereka. Dari kaca mata manusia yang lumrahnya sungguh judgemental, aku suka menukar sudut pandang. Takkanlah dalam diri si jahat ini tiada langsung nilai kemanusiaan?

Tapi ini tidak cukup mencabar. Apa kata kita cuba tukar perspektif pula. Mari kita merenung 'malaikat'.

Malaikat yang orang sanjung itu, yang kita nampak mulia itu, pasti ada celanya juga. Kita selalu rasa malaikat itu tidak layak berjalan seiring kita. Bagi kita, malaikat itu terbangnya tinggi. Tidak sajak berganding sama. Jauh punggung dari jamban.

Namun malaikat dimata kita itu, mungkin seorang syaiton kepada yang lainnya. Siapa tahu.
Tapi kita peduli apa, bukan? Asalkan malaikat itu berbuat baik dan berlaku mulia di hadapan kita cukuplah. Ye dak?


Sebenarnya, menyibuk dan mengambil tahu adalah dua perbuatan yang berbeza. Perlu diingat, yang patut itu - Ambil Tahu. Kalau nak lebih - jadilah Penyibuk.

Aku nak cakap benda lain tadi. Tapi tertulis benda lain. Setan betul!

Kawan-kawan aku kebanyakannya malaikat. Semua berwajah 'suci tak buat dosa' punya stok. Pada akhirnya, aku yang dipersetankan. Sebab itu aku lebih suka berkawan dengan setan-setan. Kerana aku nampak sisi malaikat dalam diri mereka yang tidak orang lain sedari.




Notakaki: Aku bukan tak suka kau berkawan dengan dia. Cuma aku tak mahu kau terkena. Jangan nanti cari aku. Jangan nanti cakap aku tak pernah warning.

IRAMA HATI SAYA