3003: Menghadapi Kehilangan Seorang Sahabat


Dalam kebosanan mesyuarat itu, Ariff memanggil perlahan sambil menghulurkan telefon bimbitnya. Aku agak berdebar tatkala melihat nama pengirim sms - 'Wak'.


"Salam. Sahabat kita, Rudi Yanto bin Abdullah

baru sahaja kembali ke rahmatullah. Al-fatihah."


Aku memulangkan telefon Ariff dan menoleh kembali ke hadapan membetulkan duduk.


Mesyuarat masih berjalan. Aku merenung buku nota. Kosong. Fikiran tidak dapat lagi aku tumpukan kepada isi mesyuarat. Tanganku mencatat beberapa butiran tetapi jari mula terasa lemah.


Aku terbayang wajah Rudy, dan terkenang Wawa.


Rudy dah tak ada?


Wawa macam mana?


Aku mengenali kedua mereka. Malah Wawa juga antara kenalan rapat aku semasa aktif dengan Cak Lempong dulu. Rudy penuh dengan gurauan dan sakat-menyakat.


Hati sayu amat. Tapi airmata masih bertahan. Aku takkan menangis.


Kembali ke bilik lecturer, aku terus mencapai telefon yang aku tinggalkan di atas meja. Seperti dijangka, Missed calls dan beberapa SMS. Muna dan Wak memaklumkan berita yang sama. 'Rudy dah tak ada'.


Kurang 2 minggu lalu, beberapa hari sebelum pembedahan, Aku bersama Aziz, Wak, Kak Yana dan Ariff sempat menjenguk Rudy di wad kaji saraf Hospital Kuala Lumpur.


Keadaannya pada waktu itu kelihatan sihat dan ceria. Dia asyik bergurau dengan rakan-rakan yang melawatnya. Aku hanya memerhati sambil tersenyum di katil sebelah yang kosong. Aku berbual dengan Manal untuk mengetahui sedikit sebanyak tentang penyakit Rudy. Wawa juga nampak sibuk melayan pelawat, dalam pemerhatian aku kebanyakan rakan Rudy adalah juga kenalan Wawa. Aku kagum dengan mereka berdua. Sangat ramah dan tidak pernah menunjukkan riak sedih atau penat. Namun aku tahu dalam hati masing-masing sangat bimbang dengan sesuatu yang tidak pasti.


Kami memberi laluan kepada semua rakan-rakan Rudy untuk bertanya khabar kepadanya sementara kami bersapa sesama sendiri di katil sebelah. Kami mahu jadi pelawat terakhir supaya dapat meluang masa lebih lama dengan Rudy. Hampir 2 tahun aku tidak bertemu Rudy dan Wawa. Wawa menegur aku terlalu diam dan kurang bercakap. Aku hanya senyum. Rudy pula masih seperti dulu, tidak lekang dengan usikannya. Dia berseloroh kepada aku dan Ariff "Ish..ish..kau orang berdua ni..dah lama sangat single!" Lawatan ke rumah sakit yang penuh gelak tawa. Tak dapat kat tempat lain beb.


Rudy yang nampak letih menyebabkan kami tidak berbual lama. Aku hanya mengemas meja di sisi katilnya sambil melihat dia berbaring. Dia minta sikat dan menghulurkannya kepada Wak. Dia mahu Wak sikatkan rambutnya sebelum tidur. Aziz dan Ariff juga diminta berbuat begitu.


Perlahan-lahan matanya ditutup dan dia melayan lena. Wak berhenti menyisir rambut Rudy dan kami mula beredar perlahan-lahan, bimbang dia tersedar. Belum pun sempat 2 langkah, matanya tiba-tiba dicelikkan lalu terus menjeling kami. Kami tahu dia sudah tidak larat lagi dan perlukan rehat. Rudy sempat menghantar kami dengan senyuman.


Aku sama sekali tidak menyangka gurauan, gelak dan senyuman itu adalah yang terakhir. Mungkin Wak dan Aziz juga akan terkenangkan Rudy yang bermanja dengan sikatnya itu.

Al-Fatihah


Rudi Yanto bin Abdullah (1983-2011)

IRAMA HATI SAYA