Tentang Korban, Ikhlas dan Niat



Salam...
Selamat Hari Raya Aidil Adha
Hari ini hari raya yang ketiga.
Bagi sesetengah muslim, Qurban masih dijalankan.

Sebenarnya kan, banyak amalan atau perkara yang masih menjadi tanda tanya bagi kita tentang ibadah Qurban ini. Aku sendiri pun bukanlah pakar dalam hal ini. Cuma ada beberapa perkara yang aku nak petik dan fikir.

Perkara yang bakal aku ketengahkan sebentar lagi mungkin sudah lama, sedang, masih dan akan terus berlaku di mana-mana, selagi tiada kesedaran atau penerangan ilmu yang jelas tentang tatacara yang sebaiknya.

Aku nak ceritakan secara terperinci pun aku tak berapa reti sebenarnya. Tapi aku cuba lah ye.

Pada hari raya Aidil Adha yang pertama, aku berpeluang menyaksikan upacara Qurban oleh keluarga terdekat. Sehari sebelum raya, datang sebuah lori penghantar lembu. Lembunya sederhana sahaja, tidak begitu gemuk dan tidak pula kurus. Harganya aku kurang pasti. Mungkin kurang dari lima ribu ringgit.

Keesokan harinya, lewat jam 11 pagi, datanglah penyembelih ke rumah.
Lembu yang sudah disembelih ditinggalkan di bawah pokok sementera menunggu 'Kumpulan Melapah'.
Kumpulan Melapah tiba selepas zohor dan menjalankan aktiviti melapah daging di depan rumah kami.
Aku agak kagum melihat kecekapan Kumpulan Melapah yang siap mengemas dua jam kemudian.
Sambil melihat mereka melapah, sempat juga aku bertanya kepada saudaraku yang turut duduk memerhati.
Rupa-rupanya Kumpulan Melapah ini sudah diupah untuk melangsaikan segala proses dari penyembelihan sehinggalah pembungkusan dan agihan.

Dari satu sudut pandang, bagus juga ada Kumpulan Melapah ni. 
Mereka memudahkan kerja keluarga atau orang yang berniat menjalankan ibadah Qurban tanpa perlu mengeluarkan setitik peluh pun. Cuma mungkin kena keluarkan wang yang lebih sedikit berbanding orang yang memilih untuk membuat gotong-royong melapah bersama ahli keluarga sendiri.
Aku tengok semua ahli keluarga terdekat aku semasa di kampung kelmarin goyang kaki sahaja sambil duduk atas bangku bersembang sesama mereka. Tiada seorang pun yang memegang pisau apatah lagi mengotorkan tangan memegang daging. Sesekali sahaja tangan beberapa orang yang memerhati itu menuding jari ke arah beberapa bahagian lembu tersebut. Mungkin sedang mengarah ewah-ewah la tu.

Namun begitu.. haa.. namun begitu.. dari satu sudut pandang yang lain pula, ada beberapa isu yang berbangkit setelah selesai majlis. Inilah yang aku nak kupas dan rungkaikan dalam episod ini. 
Tentang korban, ikhlas, dan niat.

Agak kurang enak didengar telinga bila mana suara-suara sumbang mula berbunyi menyatakan rasa hati.
Kebanyakannya tentulah yang tidak berpuas hati.
Maklumlah, masyarakat kita terkenal dengan sikap 'terperinci'. Segala benda pun akan diungkit.

Apa ceritanya ni Kak Yom? Menggaru kepala aje nampaknye?
"Apa lagi.. pasal pembahagian daging korban lah." Kak Yom duduk mencangkung menghadap bungkusan daging.

Begini ya,
selepas semua Kumpulan Melapah beredar pulang, tinggallah kami sekeluarga dengan beberapa bungkus daging untuk diagihkan kepada penerima. Agak terperanjat juga Wak Sarman sebab cuma ada kurang 20 bungkus. Aku cuma perhati sahaja dari jauh.

"Ini sahaja yang tinggal untuk diberi kepada orang kampung? Budak-budak yang melapah tadi semua dah balik?" Wak Sarman bertanya kepada dua orang pelapah yang hendak beredar dengan motorsikal. Mereka berdua hanya mengangguk.

Rupanya yang aku nampak mencampak tulang, daging dan bahagian lain lembu ke atas daun pisang dalam beberapa longgokan tadi, adalah untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing. Macam mana nak cakap dengan ayat mudahnya.. kira mereka Kumpulan Melapah tadi tu dah siap asingkan bahagian untuk diri sendiri dengan 'portion' yang agak besar. Bayangkan jika yang melapah tu dalam tujuh hingga sepuluh orang, berapa kilogram daging yang diasingkan untuk sesama mereka? Jadi berapa kerat sahaja yang tinggal untuk diagihkan kepada orang kampung? Mungkin itulah bayangan ketidakpuasan hati ahli yang membuat Qurban tersebut. Ada riak hampa pada wajah mereka seusai acara. 

Aku bukanlah hendak mempersoalkan, tapi menurut cakap-cakap yang lepas ke telinga aku, bukankah Kumpulan Melapah itu sudah pun mendapat upah sebelum menjalankan proses Qurban itu? Maka kenapa perlu berlebih-lebih mengambil bahagian Qurban kalaupun tuan rumah sendiri berkata "Ambillah mana-mana yang kau mahu, lagipun kau penat membantu." Malah tuan rumah juga menyediakan makan dan minum untuk menghilangkan lelah. Bagi aku yang hanya pemerhati, cuma terdetik di hati, apa sebenarnya niat kita? Sebagai tukang lapah yang dibayar sebelum bekerja, adakah kita melapah bagi pihak tuan rumah dengan niat membantu memudahkan ibadah mereka, atau kita sebenarnya melapah untuk berebut daging untuk dibawa pulang kepada keluarga kita?

Itu satu cerita.
Lain pula ceritanya bagi pihak keluarga yang menjalankan ibadah Qurban tersebut. Dalam kes ini, keluarga terdekat akulah. Apa pula kata mereka?

Keluarga terdekat aku ni pada awalnya merancang untuk menumbangkan dua ekor lembu untuk ibadah Qurban tahun ini. Namun kerana beberapa kekangan, mereka hanya mampu membeli seekor sahaja. Dengan tujuh bahagian dan beberapa penama, maka berlangsungkah majlis Qurban seperti dirancang. Berdasarkan temubual aku dengan saudara-mara yang terlibat, ini merupakan kali kedua keluarga ini menjalankan ibadah Qurban sejak beberapa tahun yang lalu.

Semasa Kumpulan Melapah sedang memotong dan membahagi daging, aku nampak tujuh buah baldi disusun di tepi bangsal. Baldi yang sama saiz itu berfungsi sebagai bekas simpanan daging untuk tuan rumah. Kalau tidak silap kiraannya, satu pertiga dari lembu Qurban itu dibahagikan kepada tujuh bahagian pula secara sama rata untuk keluarga tuan rumah. Aku dapat lihat setiap baldi bertulis nama pemilik bahagian tersebut. (Aku tak berapa pandai nak terangkan, harap kau orang paham jela ye). Untuk agihan orang kampung pula, tuan rumah memutuskan untuk menyukat satu kilogram bagi setiap bungkusan.

Berdasarkan sifir Kumpulan Lapah kali Tuan Rumah di atas, dapatkah anda julatkan baki yang tinggal untuk agihan kepada orang kampung? Aku sendiri boleh nampak dengan jelas betapa kita-kita semua ini ada tamak dalam hati walaupun dengan niat 'korban'. Maka terjawablah isu kenapa daging untuk orang kampung cuma beberapa plastik sahaja.

Sifir yang aku buat mudah sahaja - Kesimpulannya, lembu itu hanya ada tiga bahagian, satu bahagian tuan rumah, satu bahagian tukang lapah, satu bahagian lagi untuk agihan sekampung. Nama penerima pun boleh bilang dengan jari sahaja. Mana perginya tujuan bersedekah dan Qurban itu jika pada akhirnya bungkusan-bungkusan kecil yang kononnya untuk diagihkan kepada orang kampung itu dibuka semula lalu dikurangkan pula jumlahnya supaya boleh menambah bilangan penerima?

Bukan. Aku bukan hendak menidakkan tindakan mereka yang terlibat. Cuma mata jahat aku ini semacam menghidu sedikit kepincangan dalam mereka merealisasikan niat menjalankan ibadah itu sendiri. Yelah, lagipun banyak kepala, tentulah banyak ragam dan karenah. Tapi bila jadi benda macam ni, semua orang akan merungut. Bila merungut, manisnya ibadah tu sudah jadi tawar. Setuju?

Pokok pangkalnya, HATI.
Dari hati itu ada niat.
Dengan niat, kita membuat amalan.
Dengan amalan, kita menyukat ikhlas.
Iman? Itu milik Allah.

Aku cuma harap perkara-perkara sebegini tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Aku pasti perkara ini juga berlaku di tempat-tempat lain seluruh Malaysia ni kan? Aku harap Ustaz di media mahupun surau dan masjid akan terangkan dengan lebih mendalam tentang isu bahagian Qurban ini selain bersurah tentang hikmah dan pengertian Aidil Adha semata. 



Notakaki:
Sebenarnya aku tiada merakam gambar. Tapi blogger.com ni macam ada bengong sedikit. Kalau tiada foto, maka aku tak dapat menaip. Jadi, hadap jela goole image tu ya. Janji cerita aku sampai. Kih! Kih! 

IRAMA HATI SAYA