Aku.Dia.Hujan.Mentari.

Katanya dia tidak suka hujan kerana hujan membuatnya sedih teringat kisah lalu.
Tapi kukatakan padanya yang aku sukakan hujan.
Kerana hujan membuat aku merasa segar.
Aku suka menulis kala hujan. Aku paling suka hujan lebat.
Air yang mencurah-curah seolah membawa satu harapan untukku.
Kegembiraan pada hari yang tenang selepas hujan amat mendamaikan jiwa.
Burung-burung juga akan keluar berterbangan bebas selepas hujan.

Katanya dia suka hari yang cerah. Hari yang panas dan kering.
Mudah untuknya bergerak dan menjalani hari dengan ceria.
Kataku pula, matahari yang terlalu cerlang dan hari yang panas buat aku mengantuk.
Aku akan tidur dan bermalas-malasan sepanjang hari, kerja pun tidak menjadi.

Sungguhpun begitu,
kami tak pernah menyalahkan hari yang cerah mahupun kelam
Kerana kami memahami hukum alam.
Tanah perlukan mentari dan limpahan hujan.
Seperti manusia perlukan suka dan duka dalam kehidupan.
Mentari juga Hujan mewarnai bumi Tuhan.
Kegembiraan juga Kepahitan mencorak hati seorang insan.

Maka ayuh kita sama senyum.
Pada alam dan dunia
yang menjadi saksi perit derita lara,
yang menjadi bukti bahagia tawa ceria
Pada Satu Sisi Hati

Sesungguhnya
Hujan dan Mentari itu harus saling melengkapi
Seperti adanya manusia di bumi
Perlu saling menghargai.

No comments:

IRAMA HATI SAYA