IRAMA HATI SAYA

Kisah Klasik #4

Semasa di tahun enam, ada satu permainan conteng-conteng yang sangat famous.
Menulis nama penuh rakan sambil mengira chemistry percentage.
Kau orang yang sezaman dengan aku mesti pernah, kan?

Waktu tu boleh dikatakan buku-buku latihan budak sekolah akan penuh dengan nama-nama berserta kiraan. Biasanya budak perempuanlah yang seronok dengan perkara semacam ini, ye dak?

Semua pakat kira nama masing-masing dengan lelaki yang diminati.
Aku lain, aku cinta sama Zamani dan Ziana Zain.
Jadi, aku kira nama aku dengan artis sahaja.
Lepas tu aku padam, takut orang tahu!

Satu hari, selepas waktu rehat, aku masuk ke dalam kelas seperti biasa.
Sambil mengelap sisa nasi lemak di mulut dengan lengan baju, aku berjalan tunduk dan terus ke tempat duduk.
Semasa membetulkan kerusi, terdengar suara rakan sekelasku tertawa kecil.
Mungkin ada gurauan lucu sesama mereka.

Aku kurang bercakap di dalam kelas.
Lagipun aku bukan ada kawan. Cuma Sally dan Madiah sahaja yang selalu berborak denganku.
Dah la selalu kena buli dengan si Daha.
Jadi di dalam kelas aku banyak mendiamkan diri.

Daha ni setan dia satu macam.
Nanti aku cerita tentang dia di lain episod, ok?

Aku masih tunduk untuk bersedia dengan mata pelajaran seterusnya.
Mencari-cari buku latihan di dalam laci meja.
Aku dapat menangkap suara gelak-gelak tadi semakin kuat.
Kini disertai dengan sorakan galak pula.

Eh, apesal diorang semua ni? Macam hari sukan sekolah pula teriaknya.
Bak kata orang Pahang - ‘Sakai benor gayenye.’

Semua mata tertumpu di pintu hadapan kelas.
Danial sedang melangkah dengan senyum kambing.
Dia hairan kerana seisi kelas seperti bersorak kepadanya.
Aku masih lagi tertanya-tanya melihat gelagat yang lain.

Tiba-tiba muka Danial berubah apabila memandang papan hitam.
Dia segera berlari ke hujung papan hitam lalu mencapai pemadam papan hitam dengan gelojoh.

Rupa-rupanya di papan hitam tertulis namaku dan namanya berserta kiraan mantap.
Besar pulak tu.

Tak guna kau Daha!
(aku hanya mampu maki dalam hati).

0 tokok-tambah:

 
◄ Design by Pocket