NOTA Untuk Anak Murid

Banyakkan mulut untuk ilmu yang berguna
Berkata-kata dan bersuaralah
jika kamu tahu apa yang kamu sampaikan.
Jika sekadar cakap kosong yang tiada berisi,
Diam adalah lebih baik bagi kamu.

Kejarlah berkat dalam setiap lakumu.
Tiada hak bagi kamu untuk menduga guru
Kerana batasan pengetahuan antara kamu dan dirinya (guru)
mungkin umpama jaraknya pulau dari pesisir pantai.
Meski pulau itu kelihatan, laut tetap memisah keduanya.
Dan sepanjang jalan menuju pulau tidaklah jelas apa aralnya.

Jika ilmu itu hidangan
Maka apa yang kamu dapatkan itu rencahnya
Dan apa yang kamu amalkan adalah rasanya.

Jika sikap adalah pakaian
Maka pertuturan kamu adalah jenis fabriknya
Dan hormat kamu adalah perhiasan dan kemasannya.

Versi Terjemahan (bagi paras kewarasan dibawah normal)

1. Kalau nak buat bising tu untuk tarik perhatian, tak perlu lah terkinja-kinja di dalam kelas. Hormatlah kawan-kawan lain yang datang dengan niat untuk belajar dan mendengar syarahan guru, bukannya karut-marut kamu.

2. Kalau dah rasa diri tu bijak dan pandai lagi bestari, tak perlulah pulun belajar lagi. Membazir namanya.

3. Kalau kamu itu manusia, maka bertindaklah seperti manusia (yang waras), berbicaralah seperti manusia (yang berakal), dan bergaullah seperti manusia (yang beragama).

Hidup ini hanya sementara
Mari kita ingat Tuhan bersama-sama.

*Nota Kukukaki (untuk diri sendiri)

Kau tu guru, penyampai ilmu.
Perlu jaga bahasa dan tingkah laku
Yang buruk mudah diikut
Yang elok kurang dilihat

Kita juga manusia
Ada jiwa yang mungkin terasa
Ada masa emosi beraja
Namun kita ada laras pengetahuan dan kematangan
Jangan sampai dihasut syaitan.

No comments:

IRAMA HATI SAYA