Bomoh Rokiah


PART 1

Beliau tinggal di hujung kampung, di sebuah rumah usang.
Mukanya berkedut seribu dan jarinya mengerekot. Mengerikan.
Beliau sering kelihatan duduk di beranda rumah menggonyeh sirih sambil berbual sendiri ditemani burung peliharaannya.

Beliau terkenal sebagai bomoh wanita terhandal di daerah tersebut.
Saban hari rumahnya yang hampir roboh itu dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai niat dan tujuan.
Jika ditanya, mereka akan segera menjawab

"Nak pergi berubat".








Apa? Terlalu klise? Fine, kita tukar profile....
.



.

Bomoh Rokiah atau lebih dikenali sebagai Roki, tinggal di sebuah banglo mewah tiga tingkat, di tengah kota metropolitan.

Wajahnya mirip pelakon drama Tasha Shila.
Dengan mata yang bulat, kening lebat, bulu mata yang lentik serta kulit yang sangat mulus ayu berseri walaupun tanpa make-up.
Beliau sering kelihatan duduk di buaian halaman rumahnya sambil melayari internet, kadang-kadang main DotA.

Ramai yang tidak menyangka bahawa Roki adalah seorang bomoh, malah ramai yang meragui kebolehan beliau dalam ilmu perbomohan.
Tambahan lagi, dikatakan sesiapa yang datang 'berubat' dengannya tidak akan menjejakkan kaki lagi ke rumah agam beliau.

Sebelum sempat ditanya, mereka sudah awal-awal cakap

"Tobat aku tak mai dah!"




PART 2

Seorang wanita lewat 30-an datang menemui Bomoh Rokiah selepas pulang dari klinik. Dia baru selesai menjalani ujian air kencing dan disahkan mengandung.
Jenab sudahpun mempunyai 4 orang anak.

"Tok..kalau saya tak nak baby ni boleh tak? Anak saya dah ramai la. Duit lagi." kata wanita itu dengan wajah hiba.

"Eh, kenapa pulak? Bukankah anak tu rezeki?" Bomoh Rokiah bertanya hairan.

"Itu la Tok, saya ingat cukup la 4 orang, yang ada ni pun tak terjaga, Tok." balas wanita itu.

'Dah tahu tak nak tu apesal tak rancang? hadoi..' ngomel Bomoh Rokiah di dalam hati.

"Erm.. beginilah..Apa kata lepas lahir anak yang ni, kamu jangan mengandung lagi," Bomoh Rokiah memberi cadangan.

Wanita itu bertanya sekali lagi "Habis tu Tok..yang dalam perut ni tak boleh buang ke? Tok bagi la apa-apa ubat supaya baby ni tak menjadi."

Bomoh Rokiah diam sejenak, sambil menggelengkan kepala beliau sempat mencapai Blackberrynya untuk 'update' Twitter.

Bomoh Rokiah menarik nafas dalam-dalam, disentuhnya paha wanita itu sambil berkata..

"Jenab..aku bukan tak nak tolong..dah memang tak boleh Jenab oi.. DOSA!"




PART 3

Selang beberapa ketika selepas Jenab (yang semalam kena sound pasal nak abort baby tu) beredar, datang pula seorang gadis manis awal 20-an.
Nampak macam pemalu, tapi agak fashionable.

"Camni Tok..saya berkawan dengan seorang lelaki ni. Saya memang minat kat dia."
kata gadis itu bermukadimah sambil membetulkan duduk.

"So..apa masalahnya? Kau nak guna-gunakan dia supaya suka kat kau, macam dalam drama Melayu tu? Ke kau nak aku bagi minyak pengasih supaya dia asyik mimpikan kau? Ape hensem sangat ke mamat tu sampai kau tergila-gilakan dia?" Bomoh Rokiah memintas bicara.

"Ish..Tok ni..sabarlah..biar la saya story bagi habis dulu, dah tua-tua pun suka menyampuk!"

"Habis tu cakap sepatah-sepatah, ingat aku takde kerja lain ke? Can you go straight to the point..no belok-belok..kan easy.." Bomoh Rokiah mula speaking London sebab bengang kena setepek dengan gadis tersebut.

"Saya bukan ape Tok..saya datang ni cuma nak mintak Tok tolong la tengok-tengokkan sama ada budak laki tu sukakan saya ke tidak.. Itu sahaja. Almaklumlah, seperti yang Tok sedia lihat dari perwatakan saya ni kan.. sebagai perempuan secara tipikalnya saya mestilah segan nak bertanya kepada empunya badan.."

"Habis, yang kau duk tanya aku ni, tak reti malu pulak?"

"Eh Tok ni..main kasar nampak..asyik nak ketuk saya je.." gadis itu mula menarik muka kelat.

"Olo lo lo..majuk pulak dia..kalau comel takpe jugak. Ni macam orang tercekik biji durian je aku tengok.. Hmm..berat jugak kes kau ni sebenarnya..Tapi aku rasa aku boleh tolong.." Bomoh Rokiah cuba memujuk gadis itu.

"Ha? Betul ke ni Tok? Cepat la tengok dalam mangkuk tu..ada tak tanda-tanda dia suka kat saya? Saya tak sabar dah nak tahu ni." Riak wajah gadis itu bertukar ceria.

"Hotak kau! Ni mangkuk aku makan megi tadi lah..Kau tak nampak ke cili potong ni ha? Aku memang suka makan pedas." kata Bomoh Rokiah sambil menyua mangkuk itu ke muka gadis berkenaan.

"Dah tu, Tok..macam mana kita nak tahu dia suka saya ke tidak?" gadis itu kembali patah harap.

"Rileks lah..ni semua jodoh dik oi.. bukan kat tangan kita. Kalau dah dia jarang sms kau, layan kau pun nak tak nak je, bukan call kau je tak pernah, nombor kau pun dia tak save.. agak-agak kau lah kan.. BUDAK TU SUKA KAU KE TIDAK?"

PART 4

"Aku kan..menyampah betul dengan si Jenab tu..dah dia tak nak anak, aku kahwin la satu lagi..salah ke tindakan aku tu? Aku nak meramaikan umat."
Samat merungut di kedai kopi, ditemani Atan dan Kamil (standard la cerita Melayu mesti ada geng kedai kopi yang terdiri daripada tiga orang ahli, ye dak?).

"Apa kau nak kisah? Kau dah kahwin pun dengan Cikgu Sally tu kan.. Dia bukan boleh buat apa-apa." Atan cuba menenangkan.

"Ye tak ye jugak. Tapi, dia mengamuk woo lepas dapat tahu yang Cikgu Sally tu madu dia. Habis pecah pinggan mangkuk kat rumah aku semalam. Petang karang kena pulak pergi Econsave beli pinggan mangkuk baru. Aku ingat nak beli barang dapur buatan besi jela, tak ada risiko pecah bagai.."

"Kau ni pun, macam tak paham orang perempuan ni. Semua benda pun diorang nak mengamuk, dari hal kecik sampai la hal jadi besar, semua nak hentak kaki dan meroyan tak tentu hala. Kita ni sebagai lelaki, kena maintain 'cool' dan bijak mengawal suasana." Kamil pula menambah.

"Apa susah..kau pergi la jumpa Bomoh Rokiah, mintak dengan dia ubat untuk bagi lembut hati bini kau tu!" Pak Akob yang dari tadi memasang telinga di dapur tiba-tiba bersuara.




PART 5

Samat memandu laju ke arah Seri Hartamas menuju ke banglo Bomoh Rokiah. Bukan susah pun nak cari, taip je kat GPS, ikut arahan, sampailah.

"Tok.."

"Ape tok-tok?! Tak reti bagi salam ke?"

"Assalamualaikum Tok..tak jawab dosa..boleh saya naik? Saya ni ada hajat sikit Tok.."

"Waalaikumsalam. Tak payah naiklah, tak ada mahram. Bincang kat bawah je sudah. Tunggu kat buai tu, sekejap lagi aku turun." Bomoh Rokiah menjenguk di tingkap.

'Apa cun sangat bomoh ni? Buat bini nombor tiga pun not bad..' Samat menggatal di dalam hati tatkala melihat wajah Bomoh Rokiah.

"Hah, please story. I have not much time." Bomoh Rokiah mula berbahasa sambil menyapu-nyapu permukaan ipadnya dengan jari.

"Macam ni Tok..saya tak puas hatilah dengan bini nombor satu saya tu Tok. Sejak saya menikah lagi satu, tiap-tiap hari dia asyik membebel dan mengamuk. Naik bernanah telinga saya ni Tok."

"So..kau nak ubat nanah la ni ye? Kenapa tak pergi farmasi je?"

"Bukanlah Tok! Saya nak mintak Tok tolong santaukan bini saya tu, buat bagi dia tak boleh bercakap, baru la tenang sikit hidup saya ni Tok. Boleh ke Tok? Tok ada tak ubatnya? Kalau Tok tak boleh tolong tak apalah, saya pergi cari bomoh lain." Samat menerangkan panjang lebar.

"Eh, sabar la dulu. Aku belum cakap apa-apa lagi. Sekejap ye, bagi aku google dulu jenis santau yang bersesuaian. Dia ada banyak jenis, ada santau angin, santau tombak, santau paku, dan yang paling dasyat sekali santau hakiki, kalau kena boleh mati." giliran Bomoh Rokiah pula tunjuk hebat.

"Oh, kalau macam tu bagi yang latest edition la Tok. Cepat sikit kita boleh kahwin..Ops! tersyayul pulak.. ngee..." kata Samat sambil tersengih macam kucing miang.

"Nah, ambil cebisan kertas ni, bawa balik. Simpan elok-elok, jangan sampai orang lain jumpa. Dalam ni ada senarai bahan dan mantera yang diperlukan. Kau ikut je arahan dalam ni ye. Ingat..dah masuk pagar rumah baru boleh buka dan baca. Jangan lupa baca Bismillah dan Istighfar tiga kali. Ingat tu.." pesan Bomoh Rokiah dengan wajah serius.

"Baik, Tok. Saya minta diri dulu Tok. Terima kasih banyak-banyak." Samat beredar sambil bersiul-siul riang. Dia berhajat untuk masuk meminang Bomoh Rokiah pula selepas ni.

Tiba di rumah, Samat segera membuka cebisan kertas yang diberikan oleh Bomoh Rokiah tadi. Dalam cebisan itu tertera baris ayat yang agak kabur berbunyi:

"Bodoh apa kau ni, bini sendiri pun nak disantau? Orang zaman sekarang mana jumpa bomoh dah kalau nak pekena orang, kenapa kau tak pergi je kedai sebaneka, beli RACUN TIKUS nu. Aku tak nak bersubahat!"


~TAMAT~

2 comments:

selipar nenek said...

Sentiasa cakap yg baik baik belaka..tiada yg lebih baik dari yg baik2 sahaja...nice cik selampit

Nedzork said...

http://ceritateladan.com/2016/01/26/bomoh-saikologi/

IRAMA HATI SAYA