Nasi dan Kuah


Seorang pelajar beratur di belakang aku semasa membeli makan tengah hari di kantin.
Aku sempat menjeling ke arah lengannya yang sarat.
Nasi penuh sepinggan.

Dia mencapai senduk lauk, mencurah kuah ke atas nasi. Lalu terus menuju kaunter.

Aku menegur sekadar berbasa-basi, “Hai..itu je?”

Dia senyum sambil menjawab, “Ha’ah..ini jela rezeki untuk hari ini.”

Aku sangka dia hanya bergurau.
Dia cuma mengambil nasi berlaukkan kuah semata, tanpa aksesori lain seperti ayam, ikan, mahupun sayur.

Aku tenung pinggan sendiri.
Nasi putih separuh. Ayam goreng, kuah kari dan kangkung goreng belacan.

Semasa membuat bayaran, aku menangkap isi perbualan dia dengan seorang pensyarah di belakangnya.

“Nasi sahaja? Mana lauknya?” tegur pensyarah itu.

“Tak cukup budgetlah, Miss. Ini saja yang mampu.” Jawabnya dengan ketawa kecil.

“Ha iyelah.. ada juga makanan kan..?” pensyarah itu membalas.

“Ya..syukurlah..sekurang-kurangnya masih dapat makan. Kak, tolong kira..” katanya kepada cashier.

Aku mengambil baki sambil berlalu dengan rasa bersalah.
Aku sangkakan tadi dia sedang menunggu ayam di kuali siap digoreng.

Aku duduk di meja bertentangan.
Sambil berbual-bual dengan rakan semeja makan, aku memerhati pelajar tadi.

Dia tunduk membaca doa lalu makan perlahan-lahan di samping pelajar-pelajar lain.
Dia mengunyah berat nasi kosong itu. (Atau mungkin aku yang terlalu empati agaknya? Entah).
Wajahnya tenang dan sesekali tersenyum disapa rakan yang lalu-lalang.
Seperti tiada apa yang aneh atau janggal.

Mungkin ini situasi biasa bagi pelajar kolej.
Namun tidak bagi aku.
Sejak tengah hari tadi hati aku jadi ralat.

Apa salahnya jika pada waktu itu aku belanja dia makan tengah hari?
Aku terlalu gamam sebenarnya, tetapi cuba berlagak biasa.
Aku tak mahu dia rasa rendah diri pula jika aku menawarkan untuk membayar makanannya.

(Ah, kau orang takkan faham ‘the awkward moment’ yang aku alami. Cuba kau orang yang berada dalam situasi aku, antara senyum yang keliru dengan tindakan sendiri serta otak memproses input dari organ pendengaran sambil mencerna tingkahlaku abstrak di sekeliling. Ahh! Aku dah kata, kau orang apa tahu?!)

Maka, untuk menebus rasa bersalah aku for being so ignorant, aku mogok.
Malam ini aku dinner hanya dengan sebungkus Maggi (dengan niat menyelami perasaan pelajar itu. ‘Saya minta maaf’).


Notakaki:
Kalau dia yang hanya makan nasi berlauk kuah semata pun boleh bersyukur, kenapa kita yang selalu tak habis makan ni selalu merungut dan rasa ‘tak cukup’?

No comments:

IRAMA HATI SAYA