IRAMA HATI SAYA

Kisah Klasik #1

Ok. Bulan ni aku akan sajikan kau orang dengan cerita-cerita cinta yang tak berapa nak feeling sangatlah. (Budget ramai je orang nak baca, kan?)

Masa kecik-kecik dulu, aku bercinta dengan sepupu aku.
Dia tua setahun dari aku. Masa tu aku baru darjah empat kalau tak silap.

Aku rasa kitorang bukan bercinta, tapi saudara-mara selalu ‘kenenkan’ kami berdua.
Setiap kali pulang dan berkumpul di kampung, mesti dia cari aku dan aku cari dia.
Sepupu-sepupu aku yang sebaya pada zaman itu semuanya lelaki. Kira aku seorang la perempuan. Dia ni antara yang kacak-versi-budak lah.

Zaman kanak-kanak kami bukan macam budak-budak sekarang. The world is all about us and we enjoyed every second by indulging ourselves with adventurous activities. Nothing to be afraid of. Bukan macam budak sekarang, masuk hutan pun time jambori pengakap sekolah. Asal petang je mak pimpim pergi taman permainan. Bapak pesan jangan kawan dengan anak jiran. Jalan seorang diri kena culik.

Aku masa kecik-kecik dulu, main kejar-kejar dengan babi hutan. Nak makan pauh panjat sendiri. Pergi dan balik sekolah menapak merentas padang dan masuk celah pagar belakang sekolah. Hujung minggu mandi paya dengan anak orang kemboja rumah sebelah. Eh, banyak lagilah pengalaman yang tak terbayangkan. Kau ada?

Kalau tak ada, nanti besok rajin-rajin aku story, ok? Sebab sekarang ni kita dah lari topik, lari tema. Kan aku cakap tadi aku sebenarnya nak cerita pasal kisah klasik aku kan? Haish!

Berbalik kepada cerita diawal episod tadi....

Budak-budak basically memang kurang sensitif dan tak reti bahasa. Jadi janganlah marahkan mereka kerana tindakan tersebut adalah sia-sia. Kami tidak terkecuali.
(‘Kami’ merujuk kepada ‘aku dan sepupu-sepupu seangkatan.’)

Kami memang spesis ikut-dan. Asal ada kenduri, kami akan mengikut keluarga masing-masing dan berkumpul di rumah Nenek. Sepupu-sepapat ada lebih kurang 20 orang, lima daripadanya masih kategori ‘bawah umur’ dan tidak layak menyertai aktiviti lasak atau masuk hutan bersama kami. Mereka sedang dalam proses bertatih, nak berjalan pun belum pandai, berlari apatah lagi.

Program lazim sewaktu kenduri arwah adalah main ‘kahwin-kahwin’. Mangsa yang terlibat tentulah aku dan Edi sebagai hot couple. Yang lain-lain bersedia sebagai watak tambahan.


Dua pasangan akan dinikahkan pada malam ini. Jangan lupa, ini malam kenduri arwah tau!

Tapi kami budak lagi, apa yang kami faham hanyalah perkataan KENDURI yang bermaksud MAKAN-MAKAN. Kami cuma tahu lepas solat dan tahlil pasti ada jamuan makan.

Di luar kedengaran jemaah sedang menyambut bacaan Surah Al-Fatihah dengan gema “AaaaaMiiiinnnnnnnnn......”

Kaum hawa, yakni ibu-ibu kami sedang sibuk menyiapkan lauk dan masakan untuk jamuan tetamu.Kebiasaannya kami akan ditempatkan di bilik arwah Atuk kerana ruang tamu akan dijadikan tempat solat berjemaah dan jamuan makan.

Adab yang kami faham cuma satu – JANGAN BUAT BISING!
Habis tu, kalau dah disumbat dekat 20 orang kanak-kanak ke dalam bilik kecil arwah Atuk tu, apa sangatlah permainan yang kami boleh layan tanpa membuat sebarang bunyi bising, kan? Jadi Walid sebagai sepupu yang paling tua merangkap penyelia pasukan kami mula memberi arahan.

Beliau menyuruh Amri dan adiknya Amar menyusun bantal buruk dan kusyen lama yang terdapat di dalam bilik arwah Atuk untuk dijadikan pelamin. Setelah selesai, Walid memberi watak kepada sepupu yang lain secara paksa.

Fikri sebagai Tok Kadi, Zul Gemuk sebagai Pengapit lelaki, Senah Pengapit perempuan, Safura jadi Mak Andam yang perlu memegang kipas menutup muka pengantin, Aku, Edi, Haiza dan Jamil sebagai pasangan pengantin. Yang lain-lain memilih watak masing-masing mengikut kesesuaian majlis. Tiada tangisan bayi kedengaran, mungkin semuanya tertarik dengan permainan ini.

Kesemua role-player mengambil kedudukan masing.
Fikri bersila mengadap Edi sambil membetulkan songkok dikepalanya.
Jamil duduk menunggu giliran di belakang Edi.
Aku dan Haiza diminta berada di atas pelamin berbau kepam hasil susunan si Amri dan Amar.
Pengapit setia di sebelah pengantin, menghayun cebisan kotak, mengipas diri sendiri.

“Aku nikahkan dikau... Edi dan Ropeah... dengan emas kahwin... empat belas ringgit... Tunaaaaiiiiiii...” Fikri mula bersuara sambil menjabat kemas tangan Edi.

Seluruh bilik menjadi sunyi.
Semua sedang menumpukan perhatian kepada acara gilang-gemilang ini.

Edi senyum nakal ke arahku. Dia menarik nafas panjang lalu menyambut, “Aku terima nikahnya.. Ropeah... dengan emas kahwinnya... empat belas ringgit.. Tu..naiiii...”

Kedengaran gelak-gelak kecil anak-anak dalam bilik arwah Atuk.
Kami berpandangan sesama sendiri.
Muka aku dan Haiza masih dilindungi oleh Safura.
Kami tersengih-sengih di belakang kipas di tangan Safura.

Selesai sesi akad untuk pasangan Haiza dan Jamil, Walid memberi arahan untuk acara ‘membatalkan air sembahyang’.
Pengantin lelaki bangun menuju kearah pelamin.
Hadirin semakin teruja.

“Eh, kita mana ada cincin..tadi siang tak tikam pun!” Senah menjerit.

“Takpe, kita guna bunga je. Zul, pergi ambil kat luar tu sekejap, dalam almari cawan Nenek.”

Zul berlari keluar dan kembali selang beberapa saat.
Bunga telur berwarna merah dan hijau dihulurkan kepada pengantin lelaki.
Safura mengalihkan kipas untuk menyerlahkan muka pengantin perempuan.
Edi dan Jamil menyerahkan bunga telur kepada aku dan Haiza dengan lagak gentleman.

Seisi bilik bersorak sakan.
Makcik Jah menjenguk dan menunjukkan isyarat diam.
Kami semua mendiamkan diri.
Sesaat kemudian, ketawa berderai lagi.

“Orang dah habis tahlil woi, jom makan!” jeritan Zul Gemuk menyebabkan kami semua berlari bertempiaran keluar dari bilik arwah Atuk. Pelamin? Kipas? Bunga? Pengantin? Pengapit? Tok Kadi? Mak Andam?

Ah, semua sedang kusyuk bersila di atas seperah beralas tikar gulung.
Masing-masing menadah tangan di sisi ibu dan makcik.
Doa makan dibacakan oleh Pak Imam. Dan kami melahap sekenyang-kenyangnya.

Sungguh seronok!





Notakaki: Aku dengar cerita, 'bekas bakal boyfriend' aku masa belajar dulu,masuk surat khabar, kisah dia nak menikah katanya. Untunglah jadi orang terkenal..boleh masuk Nona.



0 tokok-tambah:

 
◄ Design by Pocket